Jabatan dan agensi KKMM guna platform komunikasi perjelaskan SST kepada rakyat

Shakib menyampaikan cenderahati kepada Abdul Hafidz (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Abang Sardon (tengah).

KUCHING, Okt 3: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyeru semua jabatan dan agensi di bawahnya untuk melengkapi usaha menjayakan perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berdasarkan teras utama menghubung rakyat serta membina masyarakat bermaklumat.

Timbalan Ketua Setiusaha (Dasar) KKMM, Shakib Ahmad Shakir berkata, penggunaan pelbagai platform komunikasi yang tersedia perlu dimantapkan lagi dalam memastikan penyampaian secara komunikasi bersepadu yang efektif dan berkesan.

Justeru itu, katanya, semua jabatan dan agensi boleh mempergiatkan usaha penyampaian maklumat SST dan penjelasan kepada masyarakat khususnya kepada golongan muda.


“Penjelasan itu boleh digunakan melalui saluran media sosial qseperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan lain-lain lagi.

“Saya juga berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan peluang memperoleh sebanyak mana ilmu pengetahuan dan perkongsian maklumat berkaitan dengan perlaksanaan SST untuk disampaikan kepada rakyat dengan tepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat khas mengenai SST anjuran KKMM di Auditorium P.Ramlee, RTM di sini semalam.

Seramai 300 peserta telah menghadiri program tersebut.

Objektif sesi taklimat tersebut diadakan untuk memastikan peranan KKMM dan tanggungjawab ‘key communicators’ dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Program sama juga boleh memberi pendedahan kepada semua petugas KKMM bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai perlaksanaan dasar itu sebagai persediaan sebelum menggerakkan usaha-usaha penyebaran maklumat di pelbagai peringkat.

Di dalam program tersebut, ceramah pertama bertajuk ‘SST 1 September 2018: Pendekatan dan Perlaksanaan’ telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Cawangan Kawalan Kemudahan, Konsultasi dan Fasilitasi SST, Noelle Lily Ronald Morse.

Manakala ceramah kedua bertajuk ‘SST dan Pengguna’ disampaikan oleh Ketua Unit Antipencatutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Abdul Hafidz A Rahim.

Turut hadir sama ialah Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik, Datuk Almain Ajirul, Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan ketua-ketua jabatan. — DayakDaily