Isu khat: Fatimah gesa kerajaan tumpu pada kualiti sistem pendidikan

Datuk Seri Fatimah Abdullah - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Ogos 7: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah gesa Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada kualiti sistem pendidikan di negara ini.

Mengulas isu memperkenalkan tulisan Jawi ataupun kaligrafi dalam matapelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat, beliau kurang pasti dengan hasrat sebenar Kementerian Pendidikan berhubung perkara tersebut.


“Saya kurang pasti dengan apa yang dimaksudkan Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini.

“Sebahagian masyarakat berpendapat kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih besar, misalnya dari segi kualiti sistem pendidikan.

“Terutamanya, kualiti keberhasilan pelajar selepas mereka keluar dari sistem pendidikan dan saya setuju dengan pendapat ini,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

Tambah Fatimah, kerajaan baharu sekarang seharusnya menghalusi sistem pendidikan yang ada sekarang dan menambahbaik mengikut keperluan semasa.

Kualiti guru, pasarana, dan kaedah pembelajaran harus dikaji semula dan inilah penentu kepada kualiti sistem pendidikan, tegas Fatimah.

Di sidang media di Melaka pada Ogos 3 lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penggunaan tulisan khat dan Jawi dalam matapelajaran Bahasa Melayu tahun empat kekal dan diteruskan.

Berkenaan isu lain, Fatimah berkata kerajaan negeri akan menubuhkan ‘One-Stop Early Intervention Centre'(OSEIC) di Kuching.

Penubuhan OSEIC tersebut katanya menerima peruntukkan dari Petronas berjumlah RM4 juta dan untuk menempatkan kanak-kanak berkeperluan khas dari umur 7 tahun ke bawah. — DayakDaily