This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 1 Ogos: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi memandang serius isu jalan berlubang dan masalah berkaitan infrastruktur dan perabot jalan seperti lampu jalan serta papan tanda.
Menyedari ia bukan perkara baharu di Malaysia, Nanta bertegas isu tersebut harus ditangani dengan sebaiknya.
“Isu ini mungkin nampak seperti kecil kepada sesetengah pihak, tetapi saya tidak memandang ringan kerana kesannya boleh menyebabkan kemalangan dan kematian.
“Isu melibatkan nyawa tidak boleh dipandang sebelah mata,” kata Nanta dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Justeru tambah beliau, kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang berterusan akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian.
Kementerian Kerja Raya (KKR) ujarnya akan melancarkan satu kempen merangkumi usaha untuk mengatasi isu utama jalan berlubang atau rosak dan isu-isu berkaitan perabot jalan yang lain.
Menurut Nanta, banyak kes seperti ini berlaku sama ada di Jalan Persekutuan di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) mahupun di jalan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya juga mahu kempen ini berorientasikan tindakan, berlandaskan konsep ‘actions speak louder than words’.
“Saya menyedari kewujudan kempen-kempen seumpama ini sebelum ini, namun seperti yang pernah saya nyatakan, polisi yang baik akan saya teruskan dengan memberi suntikan penambahbaikan.
“Melalui kempen ini juga, saya mahu memperkukuhkan ‘No Wrong Door Policy’, bermakna sistem aduan awam di bawah bidang kuasa KKR juga akan ditambah baik.” kata Nanta. — DayakDaily