Ismail Sabri: Kerugian akibat penipuan penjualan topeng muka cecah RM4.2 juta

Ismail Sabri addressing a daily MCO press conference. - File photo

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 April: Kerugian akibat penipuan penjualan topeng muka mencecah RM4.2 juta, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kes penipuan penjualan alat pelindungan keselamatan tersebut dilaporkan meningkat di sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).


“Polis memandang serius kepada kes-kes penipuan penjualan topeng muka. Modus operandi mereka adalah dengan melakukannya secara media sosial dan juga secara bersemuka.

“Polis akan mengambil tindakan tegas dan meminta orang ramai agar lebih berwaspada,” katanya pada sidang media harian berkaitan PKP di Putrajaya hari ini.

Justeru, Ismail Sabri menggesa orang ramai agar terlebih dahulu membuat semakan akaun bank penjual sebelum membuat pembayaran.

Katanya, semakan boleh dibuat menerusi portal SemakMule di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil atau status penjualan di laman web www.biztrust.ssm.com.my.

“Maka, tolong jangan mudah percaya kepada tawaran-tawaran murah topeng muka dan peralatan-peralatan lain.

“Periksa dahulu dengan portal SemakMule dan juga laman web kerana jumlah kerugian sudah mencecah RM4.2 juta,” ujar beliau. — DayakDaily