IPT, sekolah menengah menyertai Majlis Malam Anugerah Festival Filem Mini Ke-14

Majlis penyampaian anugerah kepada pemenang Anugerah Festival Filem Mini Ke-14 di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Kampus Unimas.

KOTA SAMARAHAN, April 27: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah mengadakan Majlis Malam Anugerah Festival Filem Mini Ke-14 yang disertai 10 institusi pengajian tinggi dan dua sekolah menengah di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Kampus Unimas, di sini, hari ini.

Anugerah terbabit dianjurkan warga pelajar dan pensyarah program sinematografi FSGK Unimas bagi filem pendek yang dihasilkan pelajar institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Anugerah terbabit termasuk muzik video terbaik, komersil terbaik/pengumuman perkhidmatan awam, rekaan produksi terbaik, rekaan bunyi dan muzik terbaik, kesan visual terbaik, editing terbaik, pelakon pembantu lelaki dan wanita terbaik, pelakon lelaki dan wanita terbaik.


Disamping itu terdapat juga anugerah krew wanita dan lelaki terbaik, skrip terbaik, videografi terbaik, filem pendek terbaik kategori sekolah, filem pendek terbaik kategori institusi pengajian tinggi, dokumentari terbaik, animasi terbaik, anugerah khas juri dan pengarah terbaik.

Antara menyertai anugerah itu bagi kategori institusi pengajian tinggi ialah Universiti Putra Malaysia dengan filem ‘Diari Malique’ oleh Jasmi Mohamad Zin, New Era University College (‘Listen To Me’ oleh Kevin Tan Yao Dian), Sunway University (‘From Home With Love’ oleh Steven Soon Soo Onn, ‘Borrowed Time’ oleh Joyce Soo Wai-Xin, ‘Hang In There, Gentleman’ oleh Steven Soon Soo Onn).

Peserta lain kategori terbabit ialah The University Of Nottingham, Malaysia (‘Cinta Surabaya’ oleh Loh Ann Yie Andrea), Universiti Teknologi Mara (‘Runpost’ oleh Nursyafiq Zahin Zamri), Multimedia University Cyberjaya (‘Octophobia’ oleh E Wen Pin), UCSI University Kampus KL (‘A Reformation- A Sungai Lembing Documentary’ oleh Yong Hiu Mun).

Peserta kategori animasi terbaik ialah KRU Academy (‘FR4NKI’ oleh Arman Shahmiey), Multimedia University (‘Pogo: Jar Of Guilt’ oleh Dion Chua Lok Yan), University College Sabah Foundation (‘Free The Fin’ oleh Roderick Cheong), Unimas (‘Son of Zeffari’ oleh Chai Jing Chin) dan Universiti Teknologi Mara (‘Dato’Bahaman Pejuang Pahang’ oleh Muhamad Firdaus Omar).

Kategori sekolah pula disertai Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut (‘Pen’ oleh Muhammad Zaim Aiman Kamaruddin, ‘Silent Pain’ oleh Dennis Vieea A/L Eh Run) dan Sekolah Menengah (P) Bandaraya (‘Thirteen Four’ oleh Irene Sophia Osman Zaidi).

Juri bagi anugerah terbabit ialah Edmund Yeo, Pak Hassan Muthalib dan Indra Che Muda dengan majlis penyampaian anugerah dirasmikan Dekan Fakulti FSGK Unimas Professor Madya Dr Wan Jamal Imran Wan Abdullah Thani yang mewakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Unimas, Professor Mohd Fadzil Abdul Rahman. — DayakDaily