IPD Kuching tangkap 1,745 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dari Januari-Jun

ACP Ahsmon Bajah

KUCHING, 3 Julai: Seramai 1,745 suspek ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah, narkotik dan komersil oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata daripada jumlah tersebut, 1,483 ialah lelaki dan 211 wanita serta 51 lagi merupakan pesalah juvana.

Katanya juga, secara purata 10 suspek setiap hari dalam tempoh tersebut.

“Dari jumlah tangkapan ini, seramai 1,693 merupakan warga tempatan dan 52 lagi warga asing.

“IPD Kuching juga telah berjaya mendakwa seramai 1,298 suspek di mahkamah, terdiri daripada 1,104 lelaki, 151 wanita dan 43 pesalah juvana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, Bahagian Siasatan Jenayah berjaya mencapai kadar pertuduhan 42 peratus, kadar penyelesaian kes 56 peratus.

“Usaha inj membantu mengawal keadaan jenayah di Kuching dengan pengukuran nilai ambanh mencatatkan penurunan sebanyak 46 peratus.

“Manakala kes indeks dan non indeks mencatatkan penurunan sebanyak 524 kes bersamaan 44 peratus,” katanya.

Bagi cawangan Narkotik pula telah berjaya mencapai kadar pertuduhan kes sebanyak 90.61 peratus dan kadar penyelesaian kes adalah 69.70 peratus.

Sementara bahagian Trafik mencatatkan kadar pertuduhan sebanyak 90 peratus dan kadar penyelesaian kes sebanyak 96.42 peratus.

“Bahagian Komersial mencatatkan kadar pertuduhan kes sebanyak 36.22 peratus dan kadar penyelesaian kes sebanyak 8.67 peratus.

“IPD Kuching ini terus bertekad untuk memastikan kesejahteraan masyarakat di Kuching dapat dipelihara sejajar dengan tiga fokus Ketua Polis Negara,” katanya. — DayakDaily