IPD Kuching pantau pematuhan SOP pusat beli belah

Kelihatan Merbin (tengah) pada lawatan pemantauan SOP di sebuah pusat beli belah semalam (15 Feb 2021).

KUCHING, 16 Feb: Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa semalam mengadakan lawatan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) Covid-19 ke ECO Mall Samariang dan E-Mart Tabuan Jaya di sini.

Pemeriksaan melibatkan pematuhan SOP yang ditetapkan seperti susun atur meja bagi membolehkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Setiap meja dimuatkan tidak melebihi dua hingga empat orang mengikut saiz meja.


Penggunaan penanda di lantai juga disediakan terutamanya di kaunter pembayaran serta menggalakan pembayaran tanpa wang tunai dengan menggunakan e-wallet, kad kredit dan lain-lain.

Merbin pada lawatan itu menasihatkan pemilik premis dan pengunjung agar lebih berwaspada dan peka bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 serta sentiasa mengamalkan norma baharu.

“Elakkan bersalaman atau bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan. Mana-mana individu yang mempunyai gejala demam, batuk, selsema atau mempunyai suhu melebihi 37.5 C adalah dilarang berkunjung ke pusat beli belah dan kedai makan.

“Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah serta golongan yang berisiko tinggi adalah digalakkan duduk di rumah sekiranya tiada keperluan,” ujar Merbin.

Beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan pihak pengurusan kedua-dua pusat beli belah berkenaan dan pemeriksaan akan diteruskan dari masa ke semasa. — DayakDaily