Intervensi awal harus diberikan kepada kanak-kanak keperluan khas, kata Fatimah

Zaidi (dua dari kanan) bersama jawatakuasa PIBAKAT yang lain bergambar semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Fatimah (tiga dari kanan).
Advertisement

KUCHING, Jun 26: Intervensi awal harus diberikan penekanan terhadap setiap kanak-kanak yang dikesan mengalami kurang upaya dari segi fizikal dan juga intelektual, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, ia bagi memastikan golongan kanak-kanak istimewa itu mendapat pemulihan yang sewajarnya agar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Hanya intervensi awal merupakan yang terbaik untuk kanak-kanak kurang upaya dari segi fizikal mahupun intelektual, untuk memulihkan mereka dengan pembangunan kognitif,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Ibubapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (Pibakat) di pejabatnya, Wisma Baitulmakmur di Petra Jaya.

Sehubungan itu, Fatimah menyatakan sokongannya kepada Pibakat untuk mengendalikan semula Program Intervensi Awal (EIP) bagi kanak-kanak keperluan khas dari seawal usia sehingga enam tahun di premisnya di Jalan Ong Tiang Swee.

Katanya, program tersebut telah memberi manfaat kepada begitu ramai kanak-kanak sejak ia mula dijalankan 25 tahun lalu.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Pibakat akan dapat membantu lebih ramai lagi kanak-kanak memerlukan intervensi ini,” katanya.

Presiden Pibakat, Zaidi Ahmad berkata pada masa ini, masih terdapat ramai kanak-kanak kurang upaya dari segi fizikal dan intelektual yang tidak mendapat intervensi awal.

“Ramai lagi kanak-kanak keperluan khas yang memerlukan intervensi, di mana dalam senarai kami sahaja adalah dalam 80 orang. Belum lagi dikira kanak-kanak yang tidak dikesan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement