Orang ramai diseru menyokong Pesta Makanan Kebajikan 2018 pada Julai 22

Fatimah (tengah) berbincang dengan Zaidi (kanan) dan Ng bagi membincangkan pelaksanaan program EIP dan Pesta Makanan Kebajikan 2018 di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya, Kuching, hari ini.

KUCHING, Jun 26: Kerajaan negeri menyeru orang ramai memberikan sokongan kepada Pertubuhan Ibubapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (Pibakat) yang akan menganjurkan Pesta Makanan Kebajikan 2018 di Christian Ecumenical Worship Centre, di Jalan Stampin, di sini, Julai 22 depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian berikutan acara jualan makanan terbabit dari jam 8 pagi sehingga 12 tengahari adalah bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengumpul dana secukupnya untuk mula melaksanakan program khas membantu kanak-kanak istimewa di negeri ini yang dirancangnya.

“Ini terutamanya Program Intervensi Awal (EIP) bagi membantu kanak-kanak istimewa seawal baru lahir sehingga enam tahun; lebih awal kanak-kanak terbabit dapat menjalani program ini adalah lebih baik,” katanya ketika menerima rombongan Pibakat diketuai presidennya, Zaidi Ahmad dan setiausahanya Ng Kui Choo bagi membincangkan pelaksanaan program EIP dan Pesta Makanan Kebajikan 2018 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Fatimah berkata Pibakat yang berusia 30 tahun sudah mempunyai pengalaman dan kemahiran menjalankan program khas bagi kanak-kanak istimewa selama 25 tahun termasuk yang fokus samada kepada yang mengalami masalah fizikal, intelektual, pertuturan dan sindrom Down dengan kebanyakkan kemahiran terbabit masih tidak terdapat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

“Sudah tentu kami (kerajaan negeri) juga akan memberikan sokongan kepada Pibakat bagi menubuhkan Pusat EIP Pibakat yang akan menerima kanak-kanak istimewa yang baru lahir sehingga bereusia enam tahun bagi menjalani program EIP,” katanya.

Sementara, Zaidi berkata pihaknya mensasarkan mendapat keuntungan sebanyak RM100,000 melalui acara Pesta Makanan Kebajikan 2018 seperti disasarkannya setiap tahun dengan sebanyak 50 peratus keuntungan terbabit bagi menampung kos menyelangara premis pertubuhan itu manakala selebihnya bagi menampung kos menjalankan aktiviti dan programnya.

Selain program EIP, Pibakat turut merancang menjalankan program Morning Glory yang khusus bagi membantu golongan istimewa yang lebih dewasa bekerja dan berdikari dimana mereka akan menjalankan perkhidmatan dobi bagi menambah pendapatan dan ketika ini ada satu syarikat minyak terkemuka juga berminat menyumbang kepada program itu. — DayakDaily