Insentif RM2,000 kepada Tokoh Murid SK Tatau

Sikie (empat kanan) menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada salah seorang pelajar. Foto: UKAS

KUCHING, 19 Feb: Pelajar SK Tatau yang dianugerahkan Tokoh Murid pada tahun hadapan akan menerima insentif sebanyak RM2,000 daripada Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Sikie mengumumkan insentif tersebut di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sesi 2022/2023 SK Tatau baru-baru ini.

Katanya, ibu bapa tidak patut melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada warga pendidik semata-mata.


“Tugas sebagai pendidik bukan tugas yang mudah kerana mereka telah diberikan kepercayaan untuk mendidik anak-anak.

“Namun, ibu bapa tidak harus melepaskan tanggungjawab tersebut kepada pihak guru sahaja.

“Sebaliknya, mereka patut sentiasa menitikberatkan soal pendidikan dan kebajikan anak-anak, contohnya memastikan mereka mempunyai kelengkapan secukupnya untuk sesi pembelajaran,” kata Sikie.

Tambah beliau yang juga Adun Tatau, anak-anak merupakan aset masa hadapan dan pendidikan mereka perlu diutamakan.

Dalam pada itu, Sikie telah mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM150,000 bagi membina laluan berbumbung di SK Tatau serta geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM50,000 untuk sekolah tersebut.

Pada majlis tersebut, Tokoh Murid SK Tatau bagi Tahun 2022 telah dianugerahkan kepada Shierlyn Purai Ngau.

Shierlyn telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai aspek seperti kurikulum, hal ehwal murid (HEM) dan kokurikulum termasuk mendapat tempat ketiga dalam ‘Junior Innovate Competition’ Peringkat Kebangsaan. — DayakDaily