Inisiatif percepatkan penyukatan perimeter tanah NCR diteruskan — Abang Johari

Abang Johari (lima kanan) menerima cenderahati dari Abdullah di Majlis Makan Malam Penghargaan JTS.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Jan: Kerajaan negeri akan menggunakan perkhidmatan dari sumber lain dalam usaha mempercepatkan kerja-kerja penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ia akan menggunapakai modul yang telah dilaksanakan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).


“Kita telah menjalinkan kerjasama dengan persatuan bukan kerajaan (NGO), DBNA dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah NCR.

“Saya juga akan menggunakan perkhidmatan dari sumber lain dalam pelaksanaan kerja-kerja penyukatan ini dan ia akan menggunapakai modul penyukatan perimeter DBNA.

“Ini bertujuan untuk mempercepatkan kerja-kerja penyukatan dan sekaligus mengeluarkan surat hak milik tanah,” katanya pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) di sini, malam tadi.

Abang Johari juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk menambah kakitangan JTS bagi tujuan tersebut dan ia termasuk kakitangan yang ditawarkan khidmat secara kontrak.

Jumlah juruukur di JTS tambah beliau turut akan ditambah demi mempercepatkan kerja-kerja pengukuran.

Terdahulu pengarah JTS Abdullah Julaihi pada ucapan aluan beliau berkata pada 31 Disember 2019 lepas, JTS telah mengambil seramai 467 kakitangan baharu khusus untuk kerja-kerja penyukatan.

“Dengan jumlah tersebut, kumpulan ukur telah berjaya ditambah dari 100 kepada 130 kumpulan,” katanya.

Bagi tahun 2020 menurut Julaihi lagi, JTS telah diberi amanah untuk melaksanakan sejumlah besar projek yang berjumlah RM277 juta.

“Bermakna kita telah diamanah untuk melaksanakan 549 projek termasuk projek rakyat selain daripada kerja-kerja penyukatan tanah NCR,” ujar beliau.

Inisiatif penyukatan perimeter tanah NCR DBNA dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam menangani konflik tanah memandangkan banyak kes berkaitan tanah.

Di bawah Ordinan Tanah Sarawak katanya, kerja-kerja penyukatan tanah hanya boleh dilakukan oleh JTS, tetapi apa yang dilakukan oleh DBNA adalah memudahkan, mempercepatkan dan mengurangkan satu daripada masalah utama iaitu pertikaian tanah.

Projek dokumentasi tanah NCR Bidayuh melibatkan pembinaan dan penyelenggaraan daftar tanah NCR, survei dan pemetaan tanah NCR dan pembangunan serta pelaksanaan kerangka serta sistem organisasi pentadbiran tanah NCR di kampung-kampung Bidayuh.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh. — DayakDaily