Inisiatif EcoGreen di Santuari Hidupan Liar Samunsan

Dennis (duduk dua kanan) menanam pokok gaharu di Santuari Hidupan Liar Samunsam.

SEMATAN, 27 Mei: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menerusi kerjasama Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) hari ini menanam 300 pokok pelbagai jenis di Santuari Hidupan Liar Samunsan di Telok Melano.

Ia merupakan inisiatif di bawah program EcoGreen Planet di tanah seluas 4.2 hektar di santuari tersebut.

“Ini adalah usaha kita membantu kerajaan negeri dalam memelihara kelestarian bumi Sarawak.


“Produk utama kita adalah pelancongan yang melibatkan alam sekitar dan kita melihat kepada usaha jangka panjang dalam menjaga alam sekitar,” kata Pengerusi STB Dennis Ngau ketika ditemui di tapak penanaman pokok di Santuari Hidupan Liar Samunsam hari ini.

Tambah beliau, STB dan SFC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh lima tahun bagi merealisasikan insiatif Eco Green-Planet.

Katanya, sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sebahagian daripada hasil jualan acara-acara anjuran STB akan digunakan untuk menjayakan program.

“Pada tahun 2022 lepas, kita berjaya mengumpul 1,700 pokok hasil kutipan dari acara Miri Jazz Festival dan Rainforest World Muzik Festival.

“Pihak SFC membantu mendapatkan anak pokok dan seterusnya menjaga,” kata Dennis.

Pada acara tersebut, STB yang di wakili CEO Sharzede Datu Salleh Askor bertukar dokumen MoU dengan SFC yang juga di wakili CEO Zolkipli Mohd Aston. — DayakDaily