Ingkar PKP 3.0: 1,382 kompaun bernilai RM3.6 juta dikeluarkan di Kuching

Gambar rekod pasukan operasi membuat pemeriksaan pematuhan SOP.

KUCHING, 29 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah mengeluarkan 1,382 kompaun atas 10 kesalahan utama sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata keseluruhan nilai kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut mencecah RM3.6 juta.

Katanya, kesalahan yang dikompaun ialah keluar melebihi had waktu iaitu sebanyak 383 kompaun, tiada penjarakan fizikal (279), tidak memakai pelitup muka (173), kenderaan melebihi kapasiti (136) dan  gagal daftar MySejahtera sebanyak 129 kompaun.


Manakala lima lagi kesalahan yang turut dikompaun ialah aktiviti di tempat awam sebanyak 79 kompaun, tidak mematuhi SOP PKPD (58), premis beroperasi tanpa kebenaran (39), mengunjungi premis beroperasi tanpa kebenaran (22) dan rentas daerah tanpa permit sebanyak 17 kompaun.

Tegas Ahsmon, IPD Kuching akan terus komited memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19. — DayakDaily