Ingat dasar kerajaan demi masa depan Sarawak, kata Abang Johari

Kelihatan Abang Johari (kiri) dan Ismail Sabri (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Seksyen Serian WPC 03.

SERIAN, 5 Dis: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat Negeri ini untuk mengambil kira dasar Pembangunan Post-Covid-19 menuju tahun 2030.

Katanya, dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah demi masa depan Sarawak.

“Pilihan raya negeri sudah semakin dekat dengan bermacam-macam cerita. Tetapi apa yang perlu kita ingat ialah mengambil kira dasar kerajaan.


“Kerajaan negeri sudah ada dasar Post-Covid-19 ke arah 2030 dan apa yang dikehendaki ialah mandat besar daripada rakyat untuk meneruskan dasar pembangunan ini,” katanya dalam ucapan beliau di Majlis Perasmian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Seksyen Serian WPC 03 hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub dan turut dihadiri Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

Dengan siapnya Jajaran Seksyen Serian WPC 03, Abang Johari yakin impian penduduk di sekitarnya sudah menjadi kenyataan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Serian kerana telah memberikan sokongan kepada wakil-wakil rakyat demi pembangunan berterusan di bahagian tersebut.

Tambah Abang Johari, Lebuhraya Pan Borneo adalah hasil usaha mantan ketua menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem(Tok Nan) yang mahukan Sarawak memiliki kemudahan jalan raya yang baik.

“Tok Nan mahukan Sarawak ada lebuhraya yang setaraf dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Timur-Barat di Semenanjung Malaysia.

“Maka Tok Nan berkata kalau di semenanjung ada, Sarawak mesti ada lebuhraya yang sama,” kata Abang Johari.

Jajaran bagi Seksyen Serian ini adalah sepanjang 33.65km yang melibatkan skop kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin.

Kos keseluruhan bagi projek ini adalah sebanyak RM700 juta dengan pembinaan seksyen ini dijangka siap pada 4 Disember 2021. — DayakDaily