PM beri komitmen Fasa 2 Projek Lebuhraya Pan Borneo diteruskan

Ismail Sabri (dua dari kanan) dan Abang Johari (kanan) mendengar taklimat berhubung perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

SERIAN, 5 Dis: Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen bahawa Fasa 2 Projek Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan setelah dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara selama 22 bulan.

Katanya, ia mudah dilaksanakan kerana Kerajaan Pusat Perikatan Nasional (PN) mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


“Saya mudah membangunkan Sarawak kerana hubungan saya dengan Abang Johari rapat.

“Mungkin satu panggilan daripada Abang Johari, kalau projek yang lambat dilaksanakan boleh dilaksanakan dengan cepat.

“Bermakna Kerajaan Negeri dan Pusat mesti mempunyai hubungan yang rapat dengan tiada perbezaan pendapat dan fahaman.

“Kalau Kerajaan Pusat mengandungi empat parti termasuk sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dalam dua minggu akan datang saya harap GPS masih kekal sebagai Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Seksyen Serian WPC 03 yang turut dihadiri Abang Johari di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, perbincangan berhubung Fasa 2 projek tersebut yang turut melibatkan ‘missing link’ akan diteruskan bersama Abang Johari dan Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof

“Kita tidak akan terhenti di sini, kita akan teruskan sehingga segala projek ini tercapai.

“Yang penting pembangunan dapat diteruskan tanpa apa apa masalah, kerana bukti telah ada apabila kerajaan berubah pada 2018, projek yang telah diluluskan telah dibatalkan kerana tiada hubungan di antara negeri dan pusat,” ujar beliau.

Menurut Ismail Sabri, perancangan Fasa 2 Projek Lebuhraya Pan Borneo oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) terhenti pada tahun 2018 setelah kerajaan pusat bertukar.

Katanya, bajet untuk melaksanakan projek tersebut telah dibatalkan oleh Kerajaan PH.

“Oleh sebab itu kita tidak dapat untuk meneruskan Projek Fasa 2, ‘missing link’ di antara Miri-Pujut-CIQ Baram,” ujar beliau. — DayakDaily