Infrastruktur di Nanga Engkuah, Song ditambah baik dengan kos RM2.5 juta — Nanta

Nanta berucap di Pelancaran Kampung Angkat Madani Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah di Song. Foto: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 14 Mei: Seramai 658 penduduk di Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song bakal menikmati penambahbaikan infrastruktur membabitkan kos RM2.5 juta, ” kata Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Nanta yang juga MP Kapit berkata peruntukan diluluskan selepas Rumah Panjang Nanga Engkuah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Kerja Raya (KKR).

Advertisement

Tiga buah rumah panjang yang mendapat manfaat ialah Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong.

“Penambahbaikan infrastruktur fizikal itu meliputi pembinaan jambatan yang merupakan satu-satunya laluan penghubung antara tiga rumah panjang.

“Ia juga melibatkan pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar,” kata Nanta.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Kampung Angkat Madani Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah di Song pada Ahad (12 Mei 2024).

Jelas Nanta, pelaksanaan projek itu akan membawa manfaat kepada penduduk kampung untuk berhubung dengan selesa dan selamat.

Ini adalah kerana keadaan jambatan sedia ada yang telah uzur dan membahayakan.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, proses penambahbaikan infrastruktur itu dijangka mengambil masa setahun.

“Kita percaya ia akan memberi impak positif kepada kehidupan seharian penduduk di sini,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement