Industri pelancongan domestik kembali aktif, kata Nancy

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, 27 Julai: Kajian dan maklum balas yang diterima mendapati rata-rata terdapat tanda-tanda positif yang memperlihatkan industri pelancongan domestik aktif semula.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian tersebut dilakukan dalam tempoh sebulan selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Katanya, terdapat pelbagai faktor mendorong kepada tanda-tanda positif ini.

“Antaranya ialah kaji selidik yang dijalankan ketika tempoh pelaksanaan PKP menunjukkan kecenderungan rakyat Malaysia untuk kembali melancong dalam tempoh terdekat selepas aktiviti ini dibenarkan.

“Kesediaan rakyat ini berserta dengan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia mengawal penularan wabak Covid-19 menjadi titik permulaan yang baik,” ujar Nancy pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan MP Sipitang Yamani Hafez Musa yang bertanya mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik) pasca Covid-19.

Menurut Nancy, petanda positif itu juga disokong oleh inisiatif-inisiatif yang diambil oleh penggiat industri pelancongan tempatan.

Ujar beliau, ia merangkumi tawaran pakej-pakej pelancongan istimewa berserta harga-harga promosi yang menarik untuk penginapan di hotel, pembelian tiket kapal terbang domestik serta diskaun harga untuk masuk ke produk-produk dan destinasi pelancongan.

Tambah beliau, kadar purata penginapan di beberapa hotel bandar dan pusat pelancongan di seluruh negara mendapati sambutan yang diterima adalah menggalakkan.

“Terutamanya di lokasi yang menawarkan keindahan alam semula jadi seperti di pulau dan pantai, tanah tinggi atau di pinggir hutan.

“Trend mingguan kadar penginapan juga menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya.

“Walaupun tidak mendadak atau ketara peningkatannya, ia masih memberi indikatif positif,” kata Nancy. — DayakDaily