SRI AMAN, Mei 5: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mendakwa kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak hanya akan mengakibatkan industri kelapa sawit di negara ini terjejas.
Masir mendakwa, sekirannya PH menang pada PRU14, pemimpin pakatan berkenaan mungkin akan membatalkan beberapa pelaburan besar dari China di negara ini.
“Jadi, bayangkan tindakan kerajaan China jika perkara ini berlaku selepas pilihan raya umum kelak.
“China mungkin boleh membalas dengan mengurangkan import sawit dan seterusnya menyebabkan penurunan harga komoditi itu di negara ini termasuk Sarawak,” katanya semasa merasmikan Program Kesedaran Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) Kepada Pekebun Kecil Tanaman Kelapa Sawit di Dewan Suarah Sri Aman di sini.
Masir yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan memberitahu, bagi mengelak situasi seperti itu berlaku, semua pekebun kecil sawit harus terus memberi sokongan kepada BN.
Katanya, sawit merupakan salah satu pertanian komersial yang penting buat penduduk Sarawak.
“Ini kerana dengan hasil jualan kelapa sawit boleh menjana pendapatan penting untuk keluarga di kawasan luar bandar,” katanya lagi. ā DayakDaily