JSJN Sarawak cekup tujuh individu miliki dadah bernilai RM98,676

Amer (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

KUCHING, Mei 5: Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya menahan tujuh individu yang disyaki memiliki pelbagai jenis dadah menerusi sindiket bungkusan kurier dalam dua serbuan di Sibu dan Kuching semalam.

Lebih menarik, terdapat pasangan suami isteri yang juga warga emas diberkas di Sibu, selain dua remaja lelaki.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal berkata, dalam sebuan pertama, polis menahan empat suspek di Sibu yang berumur antara 22 hingga 73 tahun.


Katanya, polis juga merampas 1,000 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai sebanyak RM80,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Layang-Layang, Sibu.

“Manakala, menerusi serbuan kedua, polis berjaya menangkap tiga lelaki di kawasan Semariang pada hari sama.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja seberat 2,094 gram.

“Polis turut menemui enam paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 16.70 gram,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Amer menambah, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu adalah dianggarkan berjumlah RM98,676.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika didapati bersalah, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati,” ujarnya. — DayakDaily