Individu terlibat dalam PRN dikehendaki jalani RTK Ag kendiri setiap 2 hari

Gambar fail untuk tujuan ilustrasi sahaja.

KUCHING, 5 Dis: Semua yang terlibat di dalam Pilihanraya Negeri (PRN) dikehendaki menjalani ujian RTK Ag kendiri setiap 2 hari sepanjang kempen pilihan raya berlangsung, dengan kos ditanggung sendiri.

Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikemas kini hari memaklumkan bahawa ujian tersebut hendaklah dibuat di Bilik Gerakan Parti.

Setiap keputusan ujian RTK Ag kendiri (positif atau negatif) perlu dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.

Hanya yang mempunyai keputusan negatif dibenarkan terlibat dalam aktiviti sepanjang kempen pilihan raya.

Bagi individu dengan keputusan positif, tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti kempen pilihan raya dan mengikuti garis panduan sedia ada.

Manakala aktiviti berkempen yang dibenarkan adalah terhad di dalam kawasan Bahagian Pilihan Raya DUN masing-masing sahaja dan tidak dibenarkan merentas DUN yang lain.

Namun, pengecualian diberikan kepada parti-parti politik yang bertanding untuk mengemukakan 15 orang nama pemimpin kanan setiap parti yang bertanding bagi tujuan merentas DUN kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan SPR.

Hanya 5 orang sahaja pemimpin parti kanan termasuk pegawai yang mengiring/pengawal/pemandu (tidak termasuk calon dan ejen pilihan raya) bagi setiap parti politik yang bertanding dibenarkan untuk merentas DUN bagi tujuan berkempen pada satu-satu lokasi dan pada satu-satu masa.

Dan, semua yang terlibat ini hendaklah lengkap divaksinasi.

SOP tersebut turut menetapkan bahawa hanya 1 Bilik Gerakan Utama dan maksimum 5 Bilik Gerakan Kecil dibenarkan untuk beroperasi bagi 1 kawasan DUN.

Bilik Gerakan Utama dan Bilik Gerakan Kecil berkenaan hendaklah dikendalikan oleh penduduk atau petugas parti yang bermastautin di dalam kawasan DUN berkenaan sahaja.

Bagi Bilik Gerakan Utama hanya 20 orang maksimum atau 50 peratus kapasiti ruang atau mana-mana yang lebih rendah boleh berada di dalam Bilik Gerakan tersebut pada satu-satu masa.

Manakala, bagi Bilik Gerakan Kecil hanya 10 orang maksimum atau 50 peratus kapasiti ruang atau mana-mana yang lebih rendah boleh berada di dalam bilik tersebut pada satu-satu masa. ā€” DayakDaily