Tiong berazam tunaikan janji kepada penduduk Dudong

Dato Sri Tiong King Sing

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 19 Dis: Dato Sri Tiong King Sing berazam untuk menunaikan janjinya kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Dudong setelah dipilih sebagai wakil rakyat di kerusi tersebut semalam.

Kemenangan Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) ini telah memastikan DUN Dudong dikuasai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya akan menunaikan janji kepada Dudong sebagai tanda terima kasih ke atas sokongan yang diberi kepada saya. Sama-sama kita berganding bahu berusaha memajukan Dudong.


“Saya tidak akan mensia-siakan amanah yang telah anda beri kepada saya demi masa depan yang lebih cerah di kawasan Dudong,” katanya yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP).

Tiong memperoleh majoriti 5,806 dengan jumlah undi 9,390, meninggalkan jauh tujuh lagi pencabarnya dalam persaingan lapan penjuru.

Beliau menewaskan Wong Hie Ping daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 3,584 undi, Jane Lau Sing Yee daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang memperoleh 1,779 undi, Paul Ling Fong daripada DAP (2,724).

Calon Bebas Fadhil Mohd Isa memperoleh 1,178 undi, Julius Enchana Jaspher Ancho daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dengan 893 undi dan Josephine Lau Kiew Ping mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) yang memperoleh 212 undi. — DayakDaily