Impian raih gaji lumayan terbantut, tujuh wanita Filipina dicekup

Royal Malaysia Police logo

SIBU, Sept 26: Impian tujuh wanita warga Filipina untuk meraih gaji yang lumayan dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut terbantut apabila mereka diberkas dalam Op Noda, semalam.

Menerusi operasi kira-kira pukul 5.30 petang itu, ketujuh-tujuh wanita yang ditahan berusia antara 22 hingga 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua mereka ditahan di sebuah pusat hiburan dan pusat refleksologi di pusat bandar itu.


Jelasnya, tangkapan itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati kesemua wanita asing berkenaan bekerja tanpa permit sah.

“Siasatan mendapati mereka tiba di Sibu pada Ogos 14 dan Sept 7 lepas.

“Kumpulan wanita asing terbabit juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di sini tanpa dokumen sah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, kesemua mereka kemudian dibawa ke IPD Sibu untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” ujarnya. — DayakDaily