Remaja lelaki jadi ‘hero’ selamatkan wanita warga emas

Remaja lelaki menunjukkan lokasi mangsa diselamatkan.

KUCHING, Sept 26: Seorang pelajar Tingkatan Satu menjadi ‘hero’ apabila berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang disyaki cuba membunuh diri di sebuah anak sungai di Jalan Foo Chow di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, remaja lelaki berusia 13 tahun tersebut telah bertindak menyelamatkan mangsa yang telah masuk ke dalam sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.19 petang.


Jelasnya, sejurus itu sepasukan anggota bomba telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang berusia 86 tahun.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati wanita berkenaan dalam keadaan terbaring, basah kuyup dan lemah.

“Mangsa sebelum itu telah diselamatkan oleh seorang remaja lelaki yang kebetulan menyedari kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.

Anggota polis dan bomba mengambil keterangan daripada remaja lelaki yang menyelamatkan seorang wanita warga emas.

Jurucakap sama memberitahu, menurut saksi kejadian, pada mulanya wanita warga emas tersebut berjalan di tebing sungai sebelum tiba-tiba berjalan masuk ke dalam sungai.

Katanya, remaja lelaki bersama rakannya yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kemudian menyelamatkan mangsa lalu membawanya ke tebing sungai.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily