Immune Belt Enforcement Team capai 89 peratus suntikan vaksin rabies

Dr Rundi (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

KUCHING, 31 Okt: Pasukan Immune Belt Enforcement Team (IBET) telah memberi suntikan vaksin kepada 89 peratus anjing di sepanjang sempadan dengan jarak lebih 1,000 kilometer.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia adalah usaha untuk menjadikan Sarawak bebas rabies menjelang 2025.

Katanya, pasukan IBET telah berjaya menjalankan vaksinasi di kampung-kampung dari Lundu hingga ke Lawas.


“Mereka (pasukan IBET) telah melaksanakan tugas dengan luar biasa.

“Sekitar 89 peratus daripada jumlah anjing yang dikenal pasti dalam kawasan tersebut telah disuntik vaksin.

“Daripada jumlah 40,000 sasaran, Pasukan IBET telah berjaya memberi suntikan vaksin kepada 36,900 anjing,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Rabies di Borneo (RIB), di sini, hari ini.

Dengan kejayaan itu tambah Dr Rundi, Sarawak tiada lagi mencatatkan kes rabies selepas bulan Jun 2023.

Katanya, langkah seterusnya ialah memantau dan mengawal anjing termasuk anjing terbiar di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Beliau yakin wabak rabies boleh dibendung 100 peratus jika semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan pihak berkuasa veterinar bekerja sama.

“Sasaran kita adalah mencapai sifar rabies menjelang tahun 2025, dan ini bukanlah perkara yang mudah dilakukan kecuali jika kita bersama-sama berganding bahu, ” kata Dr Rundi.

IBET yang diselia oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Pejabat Premier Sarawak memiliki 108 anggota.

Mereka ditugaskan mengawal dan mengawasi 978 kampung, ladang dan pos kawalan di seluruh Sarawak serta kawasan sempadannya. — DayakDaily