‘Formasi 9 Briged perlu sentiasa siap siaga’

Perbarisan serah tugas di Padang Kawad, Rejimen Ketiga Renjer Diraja (3 RRD), Kem Oya, Sibu.

SIBU, April 25: Seramai 18 pegawai dan 245 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan di bawah naungan 9 Briged Ke-9 Infantri Malaysia terlibat dalam Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima 9 Briged yang diketuai oleh Lt Kol Zakaria Abdul Rahman, Pegawai Memerintah Rej 510 (AW) bertempat di Padang Kawad, Rejimen Ketiga Renjer Diraja (3 RRD), Kem Oya di sini hari ini.

Serah terima tugas panglima itu telah dilaksanakan oleh Brig Jen Dzulkafli Mustaffa kepada Pemangku Panglima iaitu Lt Kol Abdul Razak Hashim Pegawai Memerintah 3 RRD yang disaksikan oleh Panglima 1 Div, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan anggota LLP termasuk ahli BAKAT serta veteran ATM di bawah naungan 9 Bgd.


Dalam ucapannya, beliau berasa bangga menjadi Panglima 9 Briged kerana melihat keupayaan memperagakan mutu perbarisan yang jelas melambangkan ketumbukan ketenteraan yang mampan.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi ribuan terima kasih sepanjang pucuk kepimpinan beliau sebagai Panglima 9 Briged.

Justeru itu, beliau telah menerima tawaran kursus di ‘United States Army War College’ yang akan berkuatkuasa pada 29 April ini.

Beliau telah menerima tawaran itu sebagai tanggungjawab dan amanah besar yang harus dipikul dengan penuh komited dan taat setia menuntut pergorbanan yang bukan sedikit dalam kesinambungan kecemerlangan ketumbukan formasi ini.

Beliau telah menjadi Panglima 9 Briged selama setahun satu bulan sejak Mac 28 tahun lalu.

Sepanjang tampuk kepimpinan memegang 9 Briged, dari tugas gerakan, latihan dan pertadbiran telah berjalan dengan lancar.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua warga formasi ini menentukan agar tahap kesiagaan, latihan, operasi, modal insan dan aset berada ditahap yang paling tinggi pada sebilang masa demi menentukan kemantapan kesiapsiagaan tempur formasi tersebut.

Selain itu, setiap warga formasi dikehendaki menguasai entiti kepimpinan dan pengurusan.

Beliau juga berkehendakkan nilai-nilai kepimpinan dihayati dan komplikasi pengurusan difahami agar setiap keputusan yang dibuat adalah tepat, mendapat sokongan dan dilaksanakan dengan penuh taat setia. — DayakDaily