ILP Serian dijangka beroperasi awal tahun 2024, bakal lahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi

Riot (depan, lima dari kanan) menunjukkan tanda 'bagus' ketika melawat tapak ILP Serian.

SERIAN, 13 Nov: Institut Latihan Perindustrian Serian (ILP) dijangka akan beroperasi awal tahun 2024, kata penyandang kerusi P199 Serian Gabungan Parti Sarawak- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (GPS-SUPP), Dato Sri Richard Riot Jaem.

“ILP Serian sekarang sudah siap 85 peratus dan sepatutnya beroperasi awal tahun  2024,” kata Riot kepada media selepas melancarkan jentera pilihan raya Wanita GPS di Dewan Sri Riot, Kampung Piching, hari ini.

Beliau menjelaskan ILP Serian bakal melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada kalangan belia.


“Mana-mana negara yang ingin maju mesti melahirkan tenaga kerja yang ada kemahiran, pekerja yang memiliki kemahiran akan dibayar gaji yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan yang bekerja di pejabat. Itu akan memberi manfaat kepada Serian kerana setiap pengambilan akan melibatkan 600 orang pelajar dan kursus yang ditawarkan akan sama seperti yang terdapat di ILP yang lain di seluruh negara,” kata Riot, yang juga bekas Menteri Pembangunan Sumber Manusia.

Buat masa ini, ada 32 buah institut tersebut di dalam negara termasuk sebuah institut masing-masing di Kota Samarahan dan Bintulu. ILP Serian yang terletak di tanah yang berkeluasan 57 ekar terletak di Jalan Serian-Kpg Tangga akan menelan kos pembinaam sebanyak RM260 juta until siap.

Riot juga menegaskan keperluan membina Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sri Sadong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian No.2 untuk memenuhi keperluan pelajar yang semakin bertambah di bahagian Serian.

Sementara itu, Riot amat optimistik Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) akan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Bidayuh bermula dari Lundu sehingga ke Serian. — DayakDaily