Iktiraf serta jamin hak rakyat ke atas tanah NCR, NTD antara manifesto GPS

Gabungan Parti Sarawak (GPS) logo (file photo)

KUCHING, 8 Dis: Mengiktiraf dan menjamin hak rakyat ke atas tanah hak adat bumiputera dan domain kawasan pribumi antara 34 manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) ini.

Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesemua 34 manifesto komprensif itu akan memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

Katanya, ia menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.


“Pelbagai inisiatif telah dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menjadikan Sarawak maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi dan pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar yang mampan yang dipacu oleh data dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Manifesto GPS bagi Pilihanraya Negeri Ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Turut hadir Pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Presiden Parti Progresif Demokratik Datuk Anthony Nogeh.

Kerajaan GPS telah berjaya meminda Kanun Tanah Negeri melalui Land Code (Amendment) Ordinance 2018 bagi memberi pengiktirafan secara perundangan ke atas NTD.

GPS telah dan sedang menjalankan kerja-kerja pengukuran ke atas tanah-tanah NCR secara perimeter di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan lot individu dan kampung tradisional di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Setakat 30 September 2021 sebanyak 2,485,245 ekar tanah NCR telah disukat.

Ini termasuk 55,849 lot Kampung Tradisional dan 45,840 lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang melibatkan kawasan seluas 140,474 ekar.

Sementara itu, GPS menyediakan peruntukan RM40 juta setahun untuk membiayai Program Pengukuran Tanah NCR dan NTD sejak 2019.

Manakala sejumlah RM30 juta setahun dibelanjakan bagi menambah tenaga kerja di Jabatan Tanah dan Survei (ITS) dengan pengambilan 467 kakitangan baharu.

GPS juga menambah baik dan memperkasa Land & Survey information System (LASIS) bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah. — DayakDaily