Idris nafi dakwaan beliau kata Isu Kalimah Allah isu remah

Datuk Idris Buang

KUCHING, 25 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang menafikan dakwaan terhadap beliau yang mengatakan bahawa Isu kalimah Allah sesuatu isu remeh di Sarawak.

Sebaliknya isu tersebut tegas beliau, perlu di perhalusi dan difahami dengan sikap toleransi kerana ia melibatkan anutan atau pegangan agama setiap penduduk di Sarawak

“Ini adalah hak setiap warga yang mempunyai agama masing-masing atas dasar kebebasan beragama dan kebebasan bersuara asalkan penggunaannya berlandaskan undang-undang.


“Jangan perkataan ini disalahguna untuk menyakit hati sesiapa sahaja daripada mana-mana agama yang lain,” katanya menerusi siaran secara lansung di laman Facebook Kamek Miak Sarawak di sini hari ini.

Idris berkata, beliau sama sekali tidak pernah mengatakan bahawa isu penggunaan kalimah Allah sesuatu yang remeh di Sarawak sebaliknya menegaskan bahawa perkara tersebut (penggunaan kalimah Allah) tidak pernah menjadi isu antara agama di negeri ini.

Katanya, kenyataan Ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) Miri, Bruce Chai yang mendakwa beliau mengatakan perkara terbabit adala remeh merupakan satu niat jahat yang mahu menjejaskan reputasi beliau serta pemimpin gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain.

Justeru, Idris berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Bruce Chai jika dia mengulangi perbuatan atau kenyataan terbabit.

“Saya akan heret kamu ke mahkamah, jangan buat gimik politik murahan dengan mengaitkan nama saya dengan mengatakan itu dan ini yang mana ia adalah tidak benar.

“Jadi saya berharap, mana-mana media yang mengeluarkan laporan berkenaan sama ada secara atas talian atau sebagainya untuk menarik balik laporan terbabit,” katanya.

Tegas Idris, Kerajaan pimpinan GPS sentiasa mahu memastikan keharmonian kaum di Sarawak sentiasa terjaga dengan memastikan isu penggunaan Kalimah terbabit tidak menjejaskan hubungan antara agama dan kaum di Sarawak.

“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kita sentiasa menjaga dan melindungi keharmonian antara kaum di Sarawak.

“Ini kerana tanpa keharmornian kaum dan kestabilan politik kita tidak dapat meneruskan agenda pembangunan di Sarawak,” katanya. — DayakDaily