Ibu, teman wanita kepada suspek utama diberkas polis disyaki edar dadah

Mohd Sabri (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

BAU, Ogos 10: Tindakan seorang ibu dan teman wanita kepada seorang lelaki yang bersengkokol menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini sejak tahun lalu akhirnya mengundang padah, apabila mereka diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kpg Segong di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu, polis berjaya menahan dua wanita masing-masing berusia 47 dan 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Mohd Sabri Zainol berkata, bagaimanapun, anak kepada wanita berkenaan yang berusia 20-an tiada berada di rumah semasa serbuan itu dilakukan.


Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 50.8 gram yang disembunyikan di dalam sebuah beg di kediaman tersebut.

“Buat masa ini, polis masih mengesan suspek utama iaitu anak lelaki kepada wanita 47 tahun terbabit.

“Modus operandi mereka menjalankan aktiviti jenayah itu ialah dengan berselindung di sebalik perniagaan membuka bengkel kereta, kedai runcit dan mengusahakan ikan ternakan dalam kolam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri memberitahu nilai rampasan dadah jenis syabu itu ialah kira-kira RM10,000.

Katanya, selain itu polis turut merampas dua buah kereta iaitu Toyota Camry dan Honda City dipercayai milik suspek.

Mohd Sabri (kiri) menunjukkan kereta Toyota Camry yang dirampas polis.

“Polis juga merampas pelbagai barangan lain seperti barang kemas, jam tangan dan wang tunai daripada suspek. Nilai keseluruhan rampasan itu ialah berjumlah kira-kira RM108,500 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily