Ibu bapa digesa mengutamakan pendidikan anak

Jugah (tiga dari kiri) memukul gong tradisi sebagai tanda merasmikan Majlis Merarau di SK Lubok Antu disaksikan oleh tetamu dan pegawai pendidikan daerah Lubok Antu.

LUBOK ANTU, April 28: Ibu bapa harus mengutamakan pendidikan anak-anak jika mahu melihat generasi itu berjaya pada kemudian hari, kata Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang.

Dalam satu kenyataan media, beliau menyeru agar penduduk luar bandar menyedari pendidikan menjadi aset penting dan mampu mengubah taraf hidup sama ada untuk anak itu sendiri ataupun keluarga mereka pada masa depan.

Jugah juga menegaskan bahawa isu kemiskinan di luar bandar boleh diselesaikan melalui pendidikan.


“Hampir semua sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Parlimen Lubok Antu sudah dilawati dan diberikan bantuan yang sewajarnya,” kata beliau.

“Ini membuktikan bahawa saya sememangnya ingin melihat anak watan kelahiran Lubok Antu berjaya dalam pendidikan dengan cemerlang.

“Dan impian saya juga ingin melihat pelajar dari kawasan Parlimen Lubok Antu ini sebagai pelajar cemerlang bukan sahaja di peringkat sekolah malah negeri ataupun Malaysia.”

“Jika kita mampu melahirkan pelajar cemerlang yang dapat menyumbang kepada pembangunan tempat kelahiran mereka, ini sangat menguntungkan untuk jangka masa panjang.”

Beliau menambah, sokongan semua pihak adalah asas untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan pendidikan anak-anak bagi menjamin masa depan yang stabil dan seterusnya melahirkan lebih ramai golongan professional dan berkemahiran tinggi pada masa depan.

Pada Majlis Merarau SK Lubok Antu yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu semalam, Jugah memberi peruntukkan sejumlah RM20,000 untuk kegunaan aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lubok Antu dan RM20,000 membaikpulih saluran dan pam air yang rosak.

Sehubungan itu, Jugah menggesa agar PIBG di semua sekolah dalam kawasan Parlimen Lubok Antu supaya bersama-sama berusaha untuk membangunkan pendidikan di sekolah masing-masing.

“Justeru, PIBG perlu bergerak secara aktif dan terancang agar kewujudannya dapat memberi sumbangan lebih bermakna ke arah kecemerlangan sekolah,” kata beliau.

Turut hadir di Majlis Merarau itu ialah Pengerusi PIBG TR Milai, Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Vivian Mujah, Jim Andrew Janggi dan guru-guru serta ramai ibubapa dari sekitar Lubok Antu. — DayakDaily