Ibu bantu Bomba pujuk anak cuba terjun dari bumbung bangunan MJC

Mangsa berjaya diselamatkan dan kemudian diserahkan kepada polis.
Advertisement

KUCHING, 16 Jun: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami tekanan perasaan berjaya dipujuk ibunya bersama anggota penyelamat dalam cubaan untuk terjun dari sebuah bangunan di Batu Kawa New Township (MJC) di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata mangsa, yang berusia 34 tahun dan berasal dari Sri Aman itu, dilaporkan naik ke bumbung bangunan komersial empat tingkat tersebut sekitar jam 6.24 pagi.

Ekoran itu, beberapa anggota dari Balai Bomba Batu Lintang bergegas ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Komander operasi melaporkan setibanya di lokasi kejadian, didapati mangsa berada di penjuru bumbung bangunan tersebut.

“Mangsa akhirnya berjaya dipujuk dan diselamatkan pada jam 8 pagi dengan turut sama memujuk mangsa adalah ibunya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.

Punca kejadian masih dalam siasatan.— DayakDaily

Advertisement