Orang ramai dijemput ke pameran, kempen derma darah

Tabung Darah Hospital Umum Sarawak

KUCHING, Mac 27: Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) akan mengadakan satu pameran dan tiga kempen derma darah di bandaraya ini mulai hari ini sehingga Ahad ini.

Bank Darah HUS hari ini (Mac 27) akan mengadakan pameran kempen BeThe1 sempena acara Agenda Warisan Pintar, Old Kuching di Tebingan Kuching dari jam 9 pagi sehingga 9 malam.

“Kamu (orang ramai) boleh mendapatkan banyak maklumat menarik mengenai BeThe1 dan juga pendermaan darah di gerai kami,” menurut bank darah terbabit di laman Facebook Blood Bank Hospital Umum Sarawak semalam.


Manakala pada Khamis ini (Mac 28), Bank Darah HUS akan mengadakan kempen derma darah dianjurkan Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NREB) di lobi Menara Pelita, Petra Jaya dari jam 9 pagi sehingga 2.30 petang.

Pada Mac 30 pula, bank darah tersebut akan mengadakan kempen derma darah di Damai Beach Resort Kuching di Damai yang dianjurkan resort terbabit dari jam 9 pagi sehingga 12.30 tengahari.

Istimewa pada Ahad ini (Mac 31) ialah kempen derma darah di dek bawah kapal persiaran Sarawak River Cruise di Tebingan Kuching yang dianjurkan Sarawak River Cruise dari jam 10 pagi sehingga 3 petang.

“Harapan kami agar para penderma budiman terus memberi sokongan kepada kami dengan hadir menderma darah,” menurut Bank Darah HUS.

Pihaknya sehubungan itu meminta orang ramai supaya datang awal ke kempen tersebut bagi mengelak mereka terlewat mendaftar di kaunter pendaftaran kempen dan bersabar menunggu giliran. — DayakDaily