JHS siasat bekalan daging buaya yang dijual di Festival Makanan Kuching

Kompia buaya yang dijual di Festival Makanan Kuching.

KUCHING, Ogos 12: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sedang mendapatkan maklumat mengenai penjualan daging buaya di Festival Makanan Kuching di pekarangan Dewan Banday Kuching Selatan di sini.

Jurucakap JHS berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu selepas penjualan burger dan kompia daging buaya tular dalam media sosial dan Facebook.

Katanya, buat masa ini JHS belum dapat mengambil tindakan ke atas peniaga berkaitan kerana perlu memastikan sama ada reptilia itu diperoleh daripada pembekal berlesen atau sebaliknya.


“Setakat ini, terdapat dua ladang ternakan buaya yang beroperasi secara sah untuk tujuan komersial iaitu di Miri dan Siburan.

“Sehubungan itu, kita perlu melakukan pemeriksaan sama ada bekalan daging buaya yang dijual oleh peniaga diambil dari ladang buaya sah atau tidak,” katanya.

Jurucakap JHS menambah, bagaimanapun buaya masih merupakan spesies terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.

Katanya, meskipun buaya merupakan spesies yang terancam, namun terdapat peruntukan khas yang membenarkan reptilia itu dibunuh atau ditangkap dalam situasi mempertahankan diri.

“JHS juga mohon kepada orang awam supaya berhati-hati ketika berkongsi maklumat atau menularkan isu penjualan daging buaya ini dalam media sosial,” katanya. — DayakDaily