Bom perang dunia kedua di Pantai Tanjong Lobang dimusnahkan


Brad Rantayy
MIRI, 5 Jan: Bom tinggalan Perang Dunia Kedua dipercayai milik tentera Jepun dimusnahkan pasukan polis dari unit Pemusnah Bom IPD Miri hari ini di Pantai Tanjong Lobang.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari berkata, bom seberat 113.398kg (250lbs) itu ditemukan seorang lelaki warga tempatan, Bujang Julaihi, pada tengahari Isnin semasa hendak membuang air kecil selepas berjalan di kawasan berkenaan sekitar jam 1.30 petang.
Penemuan dibuat pada jarak 100 meter dari Taman Selera Tanjong Lobang.
Satu laporan polis segera dibuat oleh Bujang selepas penemuan kerana bimbang keselamatan pengunjung pantai yang lain.
Kata ACP Hakemal, bom tersebut dipercayai jenis ‘Aerial Bomb’ yang digunakan tentera Jepun semasa era Perang Dunia II, berdasarkan tahun yang tercatat pada plat pengenalan bom tersebut.
‘Aeriel bomb’ ini mempunyai ukuran lilitan (diameter) 80cm dan panjang 110cm, jelas ACP Hakemal.
Tindakan letupan pertama dijalankan pada pukul 11.35 pagi dan berjaya membuka bahagian badan bom, manakala letupan kedua dibuat pada jam 12.15 tengahari. — DayakDaily