Hospital Sibu terima sumbangan mesin MRI

Dr Sim (tengah) mewakili Sarawak Heart Foundation menerima replika cek daripada Sazali.

KUCHING, 7 Ogos: Hospital Sibu baru-baru ini menerima sumbangan mesin MRI Philips Diamond Select 1.5T Achieva dStream oleh One Medicare Sdn Bhd.

Sumbangan menerusi Sarawak Heart Foundation itu merupakan komitmen One Medicare sebagai sebuah syarikat perkhidmatan sokongan hospital dalam membantu hospital dan komuniti semasa pandemik.

“Kami difahamkan, keadaan mesin MRI di Hospital Sibu kini dalam keadaan yang uzur.

“Sebagai syarikat perkhidmatan sokongan hospital, kami amat berbesar hati untuk bersama membantu dalam meningkatkan fasiliti hospital melalui pemberian sumbangan bersama seperti ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif One Medicare Sazali Tuah Neli.

Beliau berharap dengan sumbangan mesin itu akan memberi manfaat dalam pemeriksaan kesihatan di samping menangani keperluan segera Hospital Sibu.

Ini untuk merawat pesakit termasuklah pesakit dari kawasan berdekatan yang meliputi bahagian Sarikei, Mukah dan Kapit.

Sumbangan sebanyak RM60,497 daripada One Medicare Sdn. Bhd. dan RM39,503 daripada Biomedix Solutions Sdn. Bhd. (BSSB) untuk pembelian mesin MRI berkenaan telah diberikan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian. — DayakDaily