Hospital Miri mula laksanakan Projek Retrofit Sistem Penyaman Udara Berpusat

Dr Jamilah Hashim

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 9: Pihak pengurusan Hospital Miri akan mula melaksanakan Projek Retrofit Sistem Penyaman Udara Berpusat (chiller) sepanjang tahun ini.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, projek penjimatan tenaga itu akan dilaksanakan oleh syarikat Konsesi One Medicare Sdn Bhd di bawah Perjanjian Konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH).


Menurutnya, inisiatif seumpamanya merupakan kerjasama di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi pelaksana dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui program kecekapan tenaga di pepasangan Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

“Pelaksanaan projek ini adalah selama 60 minggu dari tarikh serah tapak pada Oktober 15, 2018 sehingga tarikh dijangka siap pada Disember 8, 2019.

“Tujuan pelaksanaan projek adalah bagi penjimatan tenaga sistem chiller yang tidak lagi efisien yang dapat mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar, penjimatan kos operasi dan utiliti di samping penggantian sistem chiller sedia ada yang telah uzur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan di hospital tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dr Jamilah menambah, sebahagian besar daripada kerja-kerja projek nanti akan merangkumi kerja-kerja menanggal dan memasang saluran udara (air duct) yang menyalurkan udara sejuk ke dalam bangunan hospital.

Jelas beliau, projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat (fasa) dan ianya melibatkan hampir kesemua blok klinikal yang terdapat di bangunan hospital.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja projek ini dijalankan nanti, dikhuatiri akan wujudnya keadaan yang tidak selesa dan mungkin meningkatkan risiko keselamatan terhadap para pesakit dan orang awam termasuklah kakitangan hospital seperti persekitaran yang panas, berdebu dan bunyi bising.

“Justeru, pihak pengurusan Hospital Miri akan mengadakan beberapa perubahan terhadap operasi harian seperti temu janji termasuklah cadangan mewujudkan tapak alternatif bagi penyampaian perkhidmatan dalam memastikan keselamatan pengguna hospital,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, usaha juga akan dilakukan untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan ke tahap yang minima untuk keselesaan pesakit dan orang awam serta kakitangan yang bertugas.

Katanya, pihak pengurusan Hospital Miri juga akan memaklumkan sebarang perubahan tarikh dan lokasi temu janji perkhidmatan klinik pakar sepanjang tempoh perlaksanaan projek berdasarkan fasa perlaksanaan serta lokasi terlibat.

“Maklumat terkini akan disalurkan melalui laman media sosial Facebook rasmi Hospital Miri, siaran media dan papan kenyataan di ruang legar hospital dari semasa ke semasa.

“Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini bolehlah diajukan melalui talian 085-420033 atau email kepada hospitalmiri@moh.gov.my.

“Pihak pengurusan Hospital Miri juga memohon kerjasama daripada semua pihak agar mematuhi semua arahan yang diberikan terutama ketika berada di dalam kawasan hospital untuk mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya. — DayakDaily