SIBU, 24 April: Seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya terbabas ke dalam semak berdekatan Jambatan Salim Jalan Stabau, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.52 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Central terus ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Hilux).
“Pasukan bomba terlebih dahulu memulakan operasi penyelamatan dan dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba Sibujaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mangsa yang berasal dari Rumah Unggom Sungai Jih, Kanowit itu kemudian diserahkan kepada anggota paramedik dan seterusnya diberikan rawatan kecemasan.
Difahamkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pasukan bomba selepas memastikan keadaan selamat kemudian berangkat pulang ke balai pada jam 3.30 petang. — DayakDaily