Hilang selepas keluar ke tandas, lelaki warga emas ditemui selamat

Keadaan air pasang yang masuk ke kawasan rumah panjang mangsa.
Advertisement

MARUDI, Mei 23: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas selepas dikatakan keluar ke tandas di sebuah rumah panjang di Rumah Edward Usah, Sungai Sebindang Bok, Bok Tinjar di sini sejak dua hari lalu akhirnya terjawab apabila lelaki tersebut ditemui selamat, hari ini.

Mangsa, Bengkong Buntak, 58, telah selamat balik ke rumah panjang dan disahkan oleh anak mangsa, Winnie Bengkong.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong memberitahu, mangsa akan dibawa ke Balai Polis Beluru dan ke Klinik Kesihatan Beluru pada esok pagi.

Advertisement

Katanya, ini kerana jalan raya yang menuju ke rumah panjang mangsa pada ketika ini tidak dapat dilalui disebabkan air pasang dan air sungai mulai naik.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari kedua ditamatkan sepenuhnya pada petang ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum itu kata Law, pada Mei 21 lalu iaitu kira-kira pukul 8 malam, seorang saksi dari rumah panjang mendakwa melihat mangsa telah keluar dari rumah dengan hanya membawa lampu suluh.

Katanya, mangsa ketika itu ada memberitahu mahu ke tandas yang berada di depan rumah panjang tersebut.

“Pakaian mangsa ketika itu hanya memakai seluar pendek berpoket dan baju berkolar warna hitam kuning,” katanya. ā€” DayakDaily

Advertisement