7 jam operasi banteras judi haram, polis cekup 11 individu

Anggota polis melakukan serbuan di premis perjudian haram.

KUCHING, Mei 23: Polis berjaya memberkas 11 individu selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi lapan serbuan berasingan yang dilakukan hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, serbuan selama tujuh jam di tujuh buah daerah di seluruh negeri ini dilakukan mulai pukul 12 tengah hari hingga 7 petang.

Menurutnya, antara daerah yang terlibat dalam serbuan itu ialah Padawan, Bau, Bintulu, Sibu, Sarikei, Saratok dan Marudi.


“Kesemua kaki judi yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 63 tahun dengan 10 orang adalah lelaki dan seorang wanita.

“Sebanyak enam serbuan dilakukan ke atas pusat menjual loteri haram dan masing-masing satu serbuan di premis judi siber dan tempat judi terbuka,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Leong menambah, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM2,528 disyaki hasil daripada perjudian haram.

Katanya, polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit, slip pertaruhan, kad judi serta barangan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah itu.

“Kes tersebut disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily