‘Hijrah’ Sarawak diiktiraf dunia — Abang Johari

Wan Junaidi (kanan) menyampaikan Anugerah Penjawat Awam Bukan Islam kepada Les. Turut kelihatan Abang Johari (empat dari kiri). Foto: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 8 Julai: ‘Hijrah’ Sarawak yang menekankan aspek kelestarian alam sekitar dan ekonomi hijau telah diiktiraf dunia, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), konsep ‘hijrah’ telah mengubah lanskap ekonomi ke arah yang terbaik serta terkini dalam mendepani permintaan dunia berhubung perubahan iklim.

Advertisement

“Oleh yang demikian, kita mesti berhijrah supaya keadaan kita lebih baik daripada hari sebelumnya, dimana kita mahukan udara yang bersih dan menikmati alam sekitar yang baik.

“Islam menekankan kesederhanaan dalam kita menguruskan alam sekitar kita,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1446H/2024M pada semalam.

Majlis itu juga dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Tambah Abang Johari, kejayaan Sarawak mendapat pengiiktirafan dunia adalah hasil tadbir urus kerajaan yang baik dan usaha berterusan semua pihak.

Katanya, pentadbiran yang baik melibatkan kepekaan kerajaan terhadap keadaan sekeliling yang seterusnya menentukan halatuju Sarawak.

“Salah satu aspeknya ialah kita mesti tahu ke mana halatuju dalam mentadbir negeri atau negara, dan kita juga mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh dunia pada masa ini,” tegas Abang Johari.

Majlis diteruskan dengan pengurniaan Anugerah Ma’al Hijrah 1446H kepada 14 penerima oleh Wan Junaidi sambil disaksikan oleh Abang Johari.

Antara penerima ialah Prof Dr Shahrul Razid Sarbini bagi Anugerah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan, manakala Datu Abdullah Julaihi menerima Anugerah Penjawat Awam Islam dan Dr Les Met bagi Anugerah Penjawat Awam Bukan Islam. — DayakDaily

Advertisement