Hijrah bawa pelbagai dimensi perubahan di Sarawak

Dr Abdul Rahman (empat dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama bagi pertandingan antara Institusi Masjid dan Surau. Foto: Ukas
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 14 Julai: Konsep hijrah bawa Sarawak kepada pelbagai dimensi yang menjurus kepada perubahan yang positif, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Abang Johari berkata, hijrah melibatkan konteks pentadbiran dan pengurusan yang memerlukan perubahan mengikut peredaran semasa.

Advertisement

“Justeru, ingin saya tegaskan di sini bahawa kerajaan negeri turut mengambil semangat ‘penghijrahan’ ini melalui inisiatif eksplorasi pelbagai bidang baharu terutamanya melibatkan teknologi, biodiversiti dan kelestarian yang berpotensi memberi pulangan yang baik kepada Sarawak,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah 2024 di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Tambahnya, dengan Sarawak kini membangunkan Pelan Hala Tuju Hidrogen serta memanfaatkan penggunaan teknologi dalam sektor keterjaminan makanan terutamanya pengeluaran padi.

Sarawak, katanya, amat memerlukan semangat ‘hijrah’ kerana melalui penghijrahan yang sebenar sahaja negeri ini mampu untuk terus maju ke hadapan.

Dalam pada itu, Abang Johari mahu Lembaga Amanah Khairat Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) terus komited memainkan peranan penting bagi memperkasakan institusi masjid dan surau di negeri ini.

Jelasnya, penganjuran Festival Maal Hijrah merupakan satu dinamika dan kreativiti dalam merangka program pengimarahan yang seharusnya dilakukan oleh pengurusan atau jawatankuasa masjid-masjid.

Ini bagi memastikan institusi masjid sentiasa relevan dan peka kepada keperluan masyarakat, asalkan tidak melangkaui batas syariah.

“Saya percaya, dalam hal ini pihak masjid boleh memainkan peranan yang lebih proaktif serta dinamik dalam meniupkan semangat penghijrahan, bukan sahaja buat umat islam, namun semangat itu seharusnya kita sampaikan juga buat rakan-rakan kita yang berlainan agama,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr Rahman Junaidi mewakili Premier Sarawak melancarkan Pelan ABC LAKMNS bagi tahun 2024 hingga tahun 2028.

Pada kemuncak majlis, beliau juga menyampaikan pemenang-pemenang Pertandingan Institusi-Institusi Masjid dan Surau sebelum menyempurnakan acara menurunkan bendera sebagai simbolik penangguhan festival. — DayakDaily

Advertisement