Henry Jinep bantu baiki dua rumah warga emas di Kampung Sudoh, Singai

Henry (dua dari kiri) ketika menjenguk Timol (dua dari kanan) yang tinggal di kebun tanpa kemudahan jalan raya dan air bersih.

KUCHING, Julai 5: Kehidupan seorang bujang tua dan juga seorang dara tua di Kampung Sudoh Singai, Bau yang sebatang kara dan dalam keadaan serba kekurangan, mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.

Baru-baru ini, Henry telah meluangkan masa menjenguk mereka, yang dikenali sebagai Rowing Nyumet berusia 66 tahun (lelaki) dan Timol Gorap berusia 72 tahun (wanita).

Namun paling menyentuh hati beliau apabila melihat kedua-duanya yang kini sudah kurang berupaya kerana pernah diserang angin ahmar ringan, hanya tinggal di dalam rumah yang sangat daif dan usang.


Rowing tinggal di dalam sebuah rumah papan yang kecil di dalam kampung manaka Timol tinggal di pondok kebun yang tiada jalan raya dan air bersih.

Sehubungan itu, Henry dengan segera mengambil tindakan agar rumah kedua-duanya dibaiki serta dibina kemudahan asas lain seperti tandas dan juga bilik air.

“Kami belum memutuskan lagi sama ada akan membaik pulih atau membina baru rumah untuk mereka tetapi apabila ini siap kelak, kedua-dua mereka akan dapat hidup dengan lebih selesa lagi,” katanya.

Henry berkata kerja membaik pulih atau bina baru rumah Rowing dan Timol adalah antara puluhan rumah yang telah diluluskan pembinaan/ baikpulihnya melalui dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) beliau.

Menurutnya, semua itu adalah hasil dari usaha beliau yang sering turun padang demi untuk membantu dan mengurangkan penduduk yang miskin tegar di dalam kawasan Tasik Biru. — DayakDaily