Hujan lebat berterusan, SK Long Bemang terjejas akibat banjir

Kelihatan keadaan banjir di SK Long Bemang, Baram.

MIRI, Julai 5: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah mengakibatkan seramai 120 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang di Baram di sini tidak dapat meneruskan sesi persekolahan akibat banjir hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Ismail Mahedin berkata, sesi pembelajaran dan pengajaran terpaksa ditamatkan awal ekoran paras air banjir semakin meningkat tinggi.

Katanya, air meningkat sehingga ke paras kira-kira 1.5 meter di kawasan padang dan kuarters guru di sekolah berkenaan.


“Pada masa sama, air banjir juga memasuki kawasan blok pentadbiran, blok asrama, dewan dan dapur asrama sekolah tersebut.

“Air masuk sedalam kira-kira antara 0.3 meter dan 1 meter di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, setakat ini paras air tidak menunjukkan perubahan.

Bagaimanapun katanya, keadaan banjir di sekolah berkenaan masih terkawal.

“Semua pelajar dan kakitangan di sekolah tersebut kini masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya. — DayakDaily