Gempar ikan yu paus tersangkut pada pukat

Inilah ikan yu paus yang ditangkap di perairan Kuala Penipah.

MUKAH, Julai 5: Masyarakat setempat di Kampung Penipah gempar dengan penemuan seekor ikan yu paus di perairan Kuala Penipah di sini hari ini.

Mamalia seberat kira-kira 3,000 kilogram (kg) atau 3 tan itu ditemui selepas tersangkut pada pukat hanyut kira-kira pukul 8.30 pagi.

Seorang nelayan berkata, dia bersama rakannya menyedari ikan yu paus sepanjang kira-kira 4 meter tersangkut selepas menyedari terdapat objek besar pada pukat yang dipasang mereka.

Katanya, pada mulanya mereka tidak mengetahui yang tersangkut itu adalah seekor ikan yu paus sehinggalah menundanya ke darat.

“Kami dapat merasa berat yang luar biasa semasa mahu menarik pukat tersebut.


“Kami kemudian menunda ikan yu itu sehingga ke darat dan mendapati ia adalah seekor paus,” katanya.

Tambahnya, penemuan ikan yu paus itu adalah kali pertama sejak menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu.

Ikan yu paus tersebut dipercayai spesis ‘Rhincodon Typus’.

Mamalia tersebut adalah spesis marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

Difahamkan ikan yu paus tersebut telah dilapah untuk dijual. — DayakDaily