Hendak mandi tapi jumpa ular, bomba bantu tangkap reptilia

Anggota bomba berusaha menangkap seekor ular yang berada di sebuah bilik air.

KUCHING, Jan 9: Seorang penghuni rumah yang hendak mandi gempar apabila menemu seekor ular sawa di sebuah bilik air di kediaman tersebut di Taman Sri Wangi di sini malam tadi.

Panik melihat reptilia itu, penghuni rumah berkenaan kemudian menghubungi pihak bomba untuk memohon bantuan menangkap ular tersebut.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menangkap ular itu.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 malam.

“Sebaik tiba di kediaman itu, pasukan bomba segera melakukan operasi menangkap reptilia tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


“Bagaimanapun, ular hitam berkenaan tidak bertindak agresif dan anggota bomba hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap reptilia itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, ular sepanjang 0.7 meter itu ditangkap dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, ular tersebut sudah dibawa ke balai sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat tanpa sebarang kecederaan kepada penghuni rumah terbabit,” ujarnya lagi. — DayakDaily