Lelaki temui ajal selepas hilang kawal motosikal

Kelihatan petugas perubatan melakukan tindakan susulan di tempat kejadian.

BINTANGOR, Jan 9: Akibat motosikal yang ditunggangi hilang kawalan, seorang lelaki warga emas menemui ajal dalam satu kejadian kemalangan di simpang Sing Ba, Jalan Bintangor-Sibu di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa, Minda Mandau, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan perubatan akibat kecederaan yang dialaminya.

Difahamkan, mangsa merupakan adik tiri kepada Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke kediamannya di Rumah Kasin Muara Bunut di sini.

Bagaimanapun ujarnya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum di terbabas dan tercampak jatuh ke atas jalan raya.

“Impak kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap sama, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily