Hasil titik peluh SMK Kidurong mencecah RM25,000 dari penanaman cili

Kebun Projek Cili Fertigasi KidSS di kawasan lapang SMK Kidurong di Bintulu yang seluas hampir satu ekar.
Advertisement

KUCHING, Mei 17: Kebun Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong di Bintulu yang dimulakan dua tahun lepas kini berjaya mengeluarkan hasil keseluruhannya sehingga 2.5 tan cili besar dan cili padi.

Pengurus projek, Narawi Mohamad, 46, yang juga guru sekolah tersebut berkata hasil jualan cili kebun terlibat yang dalam kawasan lapang sekolah seluas hampir satu ekar itu sudah menjana pendapatan mencecah RM25,000 untuk Koperasi SMK Kidurong Bhd.

“Ini merupakan projek koperasi sekolah dan saya bersama beberapa rakan guru yang mengusahakan ada kalanya pelajar turut membantu kerja penuaian cili bersama pekerja,” katanya kepada DayakDaily hari ini.

Advertisement

Narawi berkata ketika ini projek itu mampu menghasilkan 100 kilogram cili sekali tuai dengan dalam seminggu mereka menuai dua atau tiga kali bergantung kepada bilangan pokok cili yang buahnya masak.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip menunjukkan cili besar dituai dari kebun cili Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong ketika melawat kebun terbabit baru-baru ini.

Katanya projek itu yang mendapat khidmat nasihat Jabatan Pertanian telah bermula pada 2018 dengan menanam 660 pokok cili, diikuti sebanyak 2,400 pokok cili pada 2019 dan bertambah kepada 7,000 pokok cili pada tahun ini.

“Pokok cili terbabit ditanam dalam ‘polybag’ dengan setiap ‘polybag’ boleh ditanam dua pokok cili dan penanamannya pula secara fertigasi gantung dan fertigasi bawah,” katanya.

Narawi berkata mereka mensasarkan musim tuaian kebun terbabit tahun ini akan mencecah sehingga 5 tan cili namun kesetakat ini koperasi sekolah belum bercadang memperluaskan projek itu dalam kawasan sekolah. Pasukannya hanya akan memperluaskan projek sekiranya ada tapak tanah di luar kawasan itu. ā€” DayakDaily

Advertisement