Hasidah lawat perpustakaan komuniti di sekitar Kuching

Hasidah (empat dari kiri) serta rombongan pada lawatan ke salah sebuah perputakaan komuniti di Kuching hari ini (22 Ogos, 2020).

KUCHING, 22 Ogos: Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali hari ini mengadakan lawatan ke empat perpustakaan komuniti di sekitar Kuching.

Pustaka Negeri Sarawak menerusi satu kenyataan berkata, perpustakaan komuniti tersebut terlibat untuk projek Pusat Komunikasi Digital Sarawak (DCC).

“Pustaka Negeri Sarawak telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi koordinator kepada 42 perpustakaan di bawah projek DCC.

“Dua puluh perpustakaan tersebut akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Persidangan Antarabangsa Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) yang akan diadakan pada 7 Oktober 2020 kelak,” menurut Pustaka Negeri Sarawak.

Menurut kenyataan itu lagi, objektif DCC adalah menyediakan platform perkhidmatan dan sokongan ICT, memperkasakan kemahiran digital komuniti dan membina kapasiti bakat.


Ia juga menawarkan pembangunan bekalan kepada pengusaha tempatan selain mempertingkatkan kesedaran dan ketersediaan digital untuk keperluan semasa dan masa hadapan.

Empat perpustakaan yang dilawat hari ini adalah Perpustakaan Komuniti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Kampung Pinang Jawa Gita, Perpustakaan Komuniti Dewan Bandaraya Kuching Utara Darul Hana Patingan, Perpustakaan Komuniti Bilik Gerakan Gabungan, Kampung Semerah Padi Fasa 1 dan Perpustakaan Komuniti Pusat Sumber Kemas, Kampung Semariang Batu.

Turut serta pada lawatan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Sabariah Putit dan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dr Morshidi Ahmad.-DayakDaily