KUCHING, 26 Sept: Sambutan Hari Integriti Nasional diraikan setiap tahun sebagai inisiatif berterusan untuk membudayakan integriti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia juga berperanan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan setiap lapisan anggota masyarakat.
“Hakikatnya, usaha untuk memupuk nilai dan budaya integriti sebagai cara hidup rakyat tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau masa-masa tertentu sahaja.
“Hal ini kerana peningkatan secara drastik pelbagai salah laku moral seperti kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara kita membuktikan masalah defisit integriti dalam kalangan rakyat pada ketika ini cukup membimbangkan.
“Ini tidak boleh dibiarkan terus merobek sistem moral dan nilai yang sepatutnya menjadi benteng integriti diri,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Integriti dan Majlis Penyampaian Anugerah Mini Konvensyen ‘Innovative and Creative Circle (ICC) MYSED 2023’ pada malam ini.
Justeru, Abdul Karim berharap Kakitangan Kementerian akan terus menerapkan integriti sejajar dengan lafaz ikrar integriti dan menjadi contoh kepada kementerian-kementerian yang lain.
Katanya, usaha ini akan dapat meningkatkan produktiviti kerja, seterusnya meningkatkan sistem penyampaian berteraskan kualiti. — DayakDaily