Harga siling minyak masak kemasan 5 kg ditetapkan RM34.70 di seluruh negara mulai 8 Ogos

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic
Advertisement

KUCHING, 2 Ogos: Harga siling minyak masak tulen kemasan botol 5 kilogram (kg) ditetapkan pada harga RM34.70 di peringkat runcit berkuat kuasa 8 Ogos ini di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga ini meliputi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi Julai 2022 adalah RM4,603.

Advertisement

“Sehubungan itu, menerusi pengiraan Kementerian dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan di samping rundingan bersama pemain industri minyak sawit, harga maksimum jualan di peringkat peruncit untuk botol 5kg bagi Ogos 2022 ditetapkan pada paras RM34.70,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, mekanisme di sebalik penetapan harga siling ini dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa CPO.

Bagaimanapun katanya, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama.

Menurut Nanta lagi, keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI), semalam antara lain menyaksikan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia.

Ini adalah mengikut harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya.

“Harga purata bulanan CPO akan ditentukan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada setiap 1hb tiap bulan.

“Ini diikuti dengan pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut yang akan berkuat kuasa pada setiap 8hb sehingga 7hb bulan berikutnya,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement